Perlawanan terakhir skuad Harimau Muda A dalam siri latihan dan aksi persahabatan selama dua minggu di Australia bertemu juara bertahan liga utama Australia (Liga-A), Brisbane Roar petang ini turut disaksikan bekas pemain kebangsaan Australia, Brad Maloney.
Tujuan utama Maloney, 41, yang kini menjadi pencari bakat untuk kelab-kelab Liga-A ialah menilai persembahan dan prestasi kapten Harimau Muda A, Irfan Fazail serta penyerang sensasi dari Sabah, Rozaimi Abd Rahman.
Kedua-dua pemain itu dicadangkan kepada Maloney oleh bekas penyerang import Sabah, Scott Ollerenshaw yang turut berada di Gold Coast untuk menguruskan siri latihan dan aksi persahabatan skuad Harimau Muda A selama dua minggu itu.
Saya hadir sesi latihan ini (semalam) untuk melihat persiapan skuad Harimau Muda A untuk bertemu Brisbane Roar. Ternyata Irfan dan Rozaimi menarik perhatian saya. Saya fikir mereka mampu lebih menyerlah jika diberi peluang beraksi di Liga-A.
Apapun saya mahu lihat aksi mereka pada perlawanan sebenar, esok (hari ini) dan pesan saya, main seperti biasa saja. Lakukan seperti mana mereka buat dalam latihan dan segala-galanya akan berjalan lancar, kata Maloney ketika ditemui di Padang Latihan Carrara, Gold Coast, petang semalam.
Skuad Harimau Muda A menang dua aksi persahabatan awal di Australia dengan menewaskan Palm Beach Sharks 5-1 dan Brisbane Lions 2-1 sebelum tewas 2-1 kepada Brisbane Olympic, Sabtu lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan